Monday, 26 October 2015

Ciri-Ciri dan Contoh Usahawan Serta Usahawan Yang Berjaya

PENGENALAN

  Perkataan usahawan popular dalam kalangan masyarakat Malaysia hanya dalam pertengahan tahun 1970-an bersempena dengan penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun istilah ini mungkin baru tetapi konsep keusahawanan itu sebenarnya telah lama diamalkan.

  Usahawan adalah diperlukan untuk menggerakkan sumber-sumber ekonomi untuk mempercepatkan proses pertumbuhan ekonomi. Dalam mengendalikan tugas ini, usahawan perlu menggabungkan semua faktor-faktor ekonomi, mengambil risiko, mencipta, mereka, mencari peluang perniagaan dan sebagainya dengan tujuan mendapatkan keuntungan, kepuasan diri dan kemakmuran masyarakat.

  Realiti hidup umat Islam hari ini, menunjukkan banyak yang minat untuk menjadi pengguna dan sedikit sekali menjadi pengusaha atau pengeluar , negara Islam pula menjadi pasaran kepada negara-negara bukan Islam. Islam menganjurkan umatnya melibatkan diri dalam bidang keusahawanan untuk mencari nafkah kerana di dalam bidang inilah terletaknya rezeki Allah yang amat luas. Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa sembilan per sepuluh daripada rezeki adalah dalam bidang perniagaan. Mencari nafkah yang halal menerusi bidang perniagaan memang dialu-alukan dan ianya dipraktikkan oleh para anbiya' sebelum Rasulullah lagi.

Tugasan 1 (a)

CIRI-CIRI USAHAWAN BESERTA CONTOH-CONTOHNYA
  • Rangkaian/Jaringan (Networked)
  • Pengambil Risiko (Open Risk Taker)
  • Daya Pemerhatian (Observant)
  • Berwawasan (Visionary)
  • Kegagalan Menghasilkan Kejayaan (Failure Is An Option)
  • Budaya Terbuka (Open Culture)
  • Berorientasikan Keuntungan (Outcome Oriented)
  • Berorientasikan Pasukan (Team Oriented)
  • Proaktif (Proactive)


-RANGKAIAN/JARINGAN (NETWORKED)

DATUK DR.CHE ROZMEY CHE DIN

Jaringan perniagaan merupakan hubungan yang pada amnya berasaskan aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan. Ia merupakan hubungan usahawan dengan pihak-pihak di luar organisasi perniagaan. Pihak yang terlibat dengan usahawan dalam jaringan ini ialah pembekal, pelanggan, pihak bank dan seumpamanya. Dalam pembentukan jaringan ini, pihak-pihak yang terlibat saling bergantungan dan membentuk kepercayaan kerana banyak maklumat yang penting dapat disalurkan antara satu sama lain.

Usahawan yang terlibat :
Datuk Dr.Che Rozmey Che Din adalah merupakan pengasas Herba Prima Marketing (HPM) iaitu syarikat pengeluar makanan kesihatan bersama arwah isterinya, Noor Halawiyah Abdullah Shukri di Bandar Darul Aman Jaya, Jitra, Kedah telah mencipta satu fenomena baru kepada pengguna di negara ini. DDR yang juga seorang pakar perbidanan dan sakit puan menggunakan kemahiran sebagai doktor pakar untuk mem formulasi produk kesihatan sendiri iaitu Jus Mate 5 (JM5). Bermula dengan sebuah pejabat yang dikongsi bersama Jitra Medical Centre (JMC) yang ketika itu menjadi pemangkin kepada pendapatan utamanya, DDR mengorak langkah dengan begitu pantas apabila berjaya membina empayar perniagaan HPM dalam tempoh dua tahun sahaja.

Contoh kegiatan :
Dr.Rozmey telah menjalinkan jaringan perniagaan bersama Jitra Medical Centre (JMC) pada permulaan perniagaan beliau. Hasil daripada jaringan ini, Dr. Rozmey telah mendapat kemudahan fasiliti iaitu pejabat untuk beliau memulakan empayar perniagaannya. Selain itu, Dr.Rozmey mewujudkan hubungan perniagaan dengan pelanggan-pelanggan beliau melalui program testimoni pelanggan dan akademi langsing yang dianjurkan olehnya sendiri. Ini sekali gus memberi kesan yang sangat besar kepada prestasi syarikat beliau apabila pelanggan yang tampil untuk melakukan testimoni menunjukkan keberkesanan produk-produk beliau dalam menangani masalah kesihatan tertentu.


-PENGAMBIL RISIKO (OPEN RISK TAKER)


TAN SRI LIM GOH TONG

Konsep atau takrifan sebenar bagi perkataan risiko membawa erti kepada kebarangkalian berlakunya kemungkinan yang tertentu ataupun menurut kamus dewan dan pustaka edisi keempat risiko adalah kemungkinan atau bahaya kerugian. Sebenarnya, tanggapan risiko tidak bergantung pada tanggapan nilai, oleh itu kemungkinan berkenaan tidak dikira baik ataupun buruk terhadap sesetengah ciri-ciri nilai yang timbul akibat kejadian yang akan berlaku.

Wujudnya pelbagai takrifan bahawa istilah risiko yang berbeza mengikut penggunaan dan konteks situasi tertentu. Antaranya, risiko merupakan isu yang boleh dielakkan atau diringankan di mana isu tersebut mengenai masalah berpotensi yang perlu diselesaikan sekarang juga. Risiko juga dihuraikan secara kuantitatif dan kualitatif.

Manakala, berani mengambil risiko pula adalah satu ciri  yang optimis iaitu seseorang yang mampu mengalahkan rasa takut secara positif. Terdapat salah satu petikan dalam buku "Unlimited Wealth'' hasil penulisan Bong Chandra ada menyatakan bahawa orang yang berani mengambil risiko adalah orang yang berani untuk berjaya. Seseorang yang mengambil risiko memiliki dua kemungkinan iaitu kemungkinan untuk berjaya ataupun kemungkinan untuk gagal. Manakala, bagi orang yang tidak berani mengambil risiko hanya memiliki satu kemungkinan sahaja iaitu kegagalan diri sendiri.

Usahawan terlibat :
Usahawan ini merupakan pengasas sebuah taman hiburan yang terbesar di Asia. Nama beliau dikenali di serata pelosok dunia. Beliau adalah Tan Sri Lim Goh Tong. Tan Sri Lim, merupakan pengasas dan presiden seumur hidup Kumpulan Genting. Pelbagai peristiwa yang dialami oleh pengasas genting ini sebelum beliau melibatkan diri dalam perniagaan. Kedatangan beliau sebagai seorang yang sangat miskin menyebabkan beliau berusaha lebih keras untuk membaiki taraf hidup. Pada awalnya Tan Sri berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1937 dan bekerja sebagai tukang kayu untuk mencari keperluan asas.

Tan Sri dilahirkan di Asian China pada 28 Februari 1918 dengan lima adik beradik. Pada seusia 16 tahun Tan Sri telah kehilangan seorang ayah. Sebagai anak lelaki sulung keluarganya ,beliau telah mengambil alih tugas ayahnya menjual benih sayur dan telah berhenti sekolah sebagai tanggungjawab untuk menjaga keluarganya. Perang saudara yang berlaku di China pada tahun 1911 memaksanya untuk bekerja sebagai tukang kayu selama 2 tahun. Tan Sri serta sepupunya telah berhijrah ke Malaysia pada usia 20 tahun disebabkan kemelesetan ekonomi yang berlaku di China.

Usaha gigihnya berhasil sedikit demi sedikit apabila dapat membangunkan pusat pelancongan yang terbesar di Malaysia. Kejayaan Goh Tong yang merupakan orang keempat terkaya di Malaysia, dengan mempunyai kekayaan bernilai RM5.19 bilion ialah membangunkan Genting Highlands Resorts yang menjadi destinasi pelancongan dan konvensyen terkemuka dunia. Genting Highlands yang mula dibangunkan pada tahun 1971 terkenal sebagai Bandar Hiburan yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Contoh Kegiatan :
Risiko yang dihadapi bagi seseorang usahawan merupakan suatu perkara biasa. Namun untuk menjadi seorang usahawan yang berani untuk menanggung sesebuah risiko merupakan perkara yang agak sukar. Misalnya, Lim Goh Tong menerima tawaran Tuanku Abdul Rahman iaitu Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu untuk membangunkan Genting Sempah yang merupakan kawasan pendalaman. Ia memerlukan 30 ke 40 tahun dan pelaburan besar untuk membina jalan, hotel, kuarters pekerja dan menyediakan prasarana air, elektrik dan lain-lain kemudahan di situ. Jika Selangor cuma memberi pajakan 99 tahun, kami terpaksa menyerahkan kepada kerajaan sebaik saja pembangunannya tamat. 

Kemudahan-kemudahan yang terdapat di Genting Highlands ialah Taman Tema Luar dan Dalam Genting, kereta kabel terpanjang di Asia Tenggara, Arena Bintang yang mampu memuatkan lebih 6000 penonton dan beberapa buah hotel seperti Hotel Genting, Hotel Highlands dan Hotel Resort. Kumpulan Genting, kini mencatatkan keuntungan melebihi RM1 bilion setiap tahun, tahun lepas kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.55 bilion.


-DAYA PEMERHATIAN (OBSERVANT)


TUAN SAIFUL BIN NANG  

Observant adalah perkataan bahasa Inggeris bagi pemerhatian. Pemerhatian dalam konteks bahasa Inggeris adalah “good at watching and listening, good at noticing what is going around you”. Di dalam kamus dewan dan pustaka edisi ke-empat maksudnya adalah perihal memerhati, usaha, memerhati atau mengamati sesuatu. Tafsiran antara dua bahasa menunjukkan bahawa, pemerhatian ini terletak kepada seseorang individu yang mempunyai ciri-ciri yang dapat menganalisis menggunakan pancaindera sebaik mungkin dan mempunyai sikap terbuka serta peka terhadap situasi sekeliling.

Dalam konteks ciri usahawan yang berjaya ,seseorang usahawan perlu mempunyai ciri pemerhati yang baik kerana, untuk mengawal sesebuah syarikat yang mempunyai bilangan kakitangan yang banyak memerlukan sikap keterbukaan dan peka untuk memastikan semua projek-projek syarikat berjalan dengan lancar serta teratur. Selain itu, misalnya, sekiranya timbul masalah dalam syarikat tersebut ,sikap analisis bagi usahawan ini dapat membantu untuk meningkatkan kualiti syarikat dan dengan menganalisis juga dapat mengurangkan peristiwa atau perkara itu berulang.

Sikap yang ditunjukkan ini  dapat memberi motivasi dan dorongan kepada kakitangan lain untuk lebih berhati-hati dan lebih peka terhadap sesuatu perkara dengan itu syarikat akan bertambah maju dan susun atur syarikat akan bertambah baik.

Usahawan yang Terlibat :     
Beliau merupakan seorang usahawan yang kini melonjak naik. Nama beliau ialah Saiful bin Nang,  merupakan seorang jurugambar profesional yang terkenal serta mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan jurugambar-jurugambar di Malaysia. Beliau dilahirkan pada tahun 1978. Isterinya bernama Dr Intan Salwani Ahmad dan mempunyai seorang anak yang bernama Orked binti Saiful.

Beliau telah dan sedang melanjutkan pelajaran di beberapa buah institusi pendidikan  dalam bidang PhD Doc of Management (UUM - Ongoing), MPA (UK), B.Sc (Media)(Hons) Film & Animation (MMU). Beliau juga pernah dianugerahkan oleh Media Corp Asia sebagai salah seorang jurugambar terbaik Asia, serta disenaraikan oleh Dewan Ekonomi sebagai 20 usahawan berjaya dan paling kreatif di Malaysia. Malahan beliau terus mengukir satu demi satu kejayaan apabila tersenarai dalam Top 10 Malaysia, sebaris dengan individu-individu yang merupakan nama besar dalam Malaysia termasuk Datuk Lee Chong Wei, Tan Sri Anthony Fernandes dan Datuk Misbun Sidek. Kejayaan beliau mula terukir apabila berjaya membawa jenama Candid Syndrome ke persada dunia. Jenama Candid Syndrome kini bukan lagi nama biasa di negara seperti Indonesia, Brunei, Sweden dan juga Singapura.

Contoh Kegiatan  :
Beliau memulakan perniagaan dengan modal niaga RM90 dan kamera pinjam. Beliau mengorak langkah sehingga melakukan sesuatu yang beliau suka dengan sebaiknya. Pada permulaannya, Saiful Nang dirinya di labelkan dengan stigma ‘budak bodoh” dalam tempoh seusianya 12 tahun. Disebabkan tiada siapa yang berminat atau mahu berkawan dengan beliau ketika itu, beliau menghabiskan banyak masanya dengan memerhati dan menganalisis secara tidak sedar. Dengan memerhati dan menganalisis beliau boleh bercakap dengan kritis dan dapat mengajar beliau untuk berfikir dari luar kotak.

Kini, beliau bukanlah lagi budak hingusan. Hari ini beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membawa kerjaya fotografi setaraf dengan profesion lain. Beliau juga merupakan seorang usahawan gemilang dan terbilang sebaris dengan individu seperti Tan Sri Anthony Fernandes.

Terbaru, beliau kini sedang membangunkan fotografi sendiri iaitu Saiful Nang Academy Photography (SNAP) dan telah pun melatih 30 000 jurugambar-jurugambar di Malaysia. Colours of Asia Sdn.Bhd, syarikat yang menguruskan khidmat fotografi potret dan perkahwinan tempatan jenama Candid Syndrome, merancang meluaskan sayap ke Australia bermula tahun 2010.  Menurut  Ketua Pegawai Eksekutif dan Juru foto Utama colour of Asia, iaitu Saiful Nang, sebanyak lima buah studio fotografi dijangka dibuka di negara tersebut iaitu di Perth, Adelaide, Melbourne, Sydney dan Brisbane dengan kos perniagaan yang melibatkan pelaburan AUD$300,000 (RM945,207) setiap satu studio.


-BERWAWASAN (VISIONARY)

TAN SRI DATO’ LOH BOON SIEW 

Untuk berjaya, kita hendaklah mempunyai visi. Visi adalah keupayaan melihat sesuatu yang orang lain tidak mampu melihat. Seseorang usahawan yang berjaya mempunyai visi yang mampu memberi gambaran  tentang apa yang ia ingin capai pada akhirnya.

Kebanyakan usahawan didorong oleh sesuatu, sewaktu ingin memulakan perniagaan. Usahawan yang berjaya, mengambil satu langkah demi satu langkah dan mula membuat visi di awal perniagaannya. Visi ini  banyak membantu dalam perniagaan  dari segi membuat keputusan yang strategik yang amat penting untuk  menjadi usahawan yang berjaya.

Seseorang usahawan melibatkan diri mereka dalam dunia perniagaan kerana hal ini amat menarik dan mencabar. Perniagaan yang berjaya memerlukan seseorang usahawan itu untuk melaburkan segala yang ada untuk menjadikannya berjaya. Usahawan ini mempunyai gambaran yang jelas dan visi yang nyata tentang bagaimana mereka mahu bentuk perniagaan mereka dari setiap sudut.

Usahawan Yang Terlibat :
Pada sekitar tahun 1980an, boleh dikatakan 10 buah motosikal yang berada di jalan raya, 7 buah daripadanya adalah dari model Honda Boon Siew. Sedar atau tidak nama Boon Siew pada motosikal Honda ini bukanlah datang dari negara Jepun tetapi ia adalah nama individu yang bertanggungjawab untuk membawa masuk motosikal Honda terbabit ke Malaysia iaitu mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew.

Tan Sri adalah seorang yang buta huruf dan tidak boleh membaca. Walaupun beliau tidak boleh menulis mahupun membaca, namun daya ingatan Tan Sri adalah sangat baik dan beliau sering bergantung kepada ingatannya dalam membuat sebarang pertimbangan dan keputusan. Di samping itu, beliau seorang juga merupakan seorang yang mempunyai visi dan berpandangan jauh.

Contoh kegiatan :
Hal ini dapat dilihat, apabila selepas beliau meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British. Beliau melawat Jepun untuk makan angin. Di Jepun beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin mendapat pasaran baik jika dibawa ke sini. Ini menunjukkan beliau mempunyai visi untuk mengembangkan lagi perniagaan beliau di Malaysia.

Pada mulanya motosikal yang dibawa beliau diketawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati.

Kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekaligus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia. Sehingga hari ini, nama Tan Sri masih lagi setanding dengan ahli korporat yang ternama yang lain walaupun telah meninggal dunia pada tahun 1995. Sehingga kini legasi Tan Sri masih kuat di Malaysia selagi motosikal jenama Honda berada di atas jalan raya Malaysia.

Sebagai usahawan yang berjaya, Tan Sri dilihat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat yang beliau tubuhkan untuk membawa masuk motosikal Honda ke Malaysia. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motosikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn.Bhd di Kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969, motosikal Honda tidak lagi dipasang di Jepun tetapi ia dipasang di Malaysia seterusnya dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.

Dengan terbinanya kilang ini, Boon Siew Sdn.Bhd juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motosikal Honda bermula pada tahun 1971 iaitu model Honda S90Z. Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis motosikal Honda yang berada di pasaran.

Dengan sikap yang berwawasan tinggi inilah yang memacu Tan Sri Loh Boon Siew untuk terus berjaya terutama dalam bidang permotoran. Tidak semua usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti Tan Sri. Sikap positif ini senjata utama di dalam usaha beliau untuk terus bergerak maju di dalam industri permotoran Malaysia. 


-KEGAGALAN MENGHASILKAN KEJAYAAN (FAILURE IS AN OPTION)

DATO’ MOKHZANI BIN TUN DR. MAHATHIR

Merupakan di mana para usahawan menganggap kegagalan yang mereka hadapi ini sebagai satu pilihan untuk berjaya  . Di samping itu, mereka tidak mudah berputus asa dan terus bangkit apabila menghadapi kegagalan kerana percaya bahawa untuk berjaya perlu menghadapi kegagalan .Oleh itu ,perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi kegagalan dengan merancang  strategi-strategi agar dapat mengatasinya dengan baik .Sebagai seorang usahawan yang berjaya ,kegagalan adalah salah satu pilihan di mana ianya  dapat memberi impak yang positif untuk terus  mendorong menuju kejayaan di masa depan.

Usahawan Yang Terlibat :
Dato' Mokhzani bin Tun Dr. Mahathir (lahir 1961) di mana beliau  merupakan anak kedua kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad  dan Siti Hasmah Mohamad Ali.

Contoh kegiatan :
Dato’ Mokhzani Mahathir yang merupakan jutawan Malaysia, turut mempunyai jatuh bangun sendiri sebelum mencapai kedudukan sekarang ini. Dato’ Mokzani merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dalam Kencana Petroleum. Beliau pakar dalam bidang kejuruteraan petroleum. Sebagai seorang yang bergelar usahawan mereka akan melalui saat-saat yang memerlukan mereka untuk memperbaiki kesilapan yang dibuat dengan memperbaharui  idea-idea dalam  memajukan perniagaan.

Seterusnya, usahawan akan mengalami situasi-situasi yang memerlukan tindakan bijak untuk memulihkan kembali keadaan dalam perniagaan. Dato, Mokhzani Mahathir selaku Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum Berhad  beliau pernah mengalami naik turun dalam dunia korporat sebelum menyertai Kencana Petroleum pada tahun 2001. Beliau gagal dalam mengekalkan pegangan 12.6 peratus saham dalam Tongkah Holdings dan 32.9 peratus dalam Pantai Holdings semasa berlakunya krisis kewangan pada tahun 1997. Namun ianya tidak pernah melenyapkan diri dalam arus dunia korporat tempatan malah Dato’ Mokzani sendiri mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya sebagai  Penolong Bendahari Pemuda UMNO Malaysia  dengan alasan beliau ingin fokus dengan pemulihan perniagaannya yang terjejas akibat krisis kewangan yang berlaku  pada ketika itu.

Kegagalan  yang dihadapi oleh beliau telah memberikan beliau satu suntikan untuk meneruskan perniagaannya. Kegagalan ini telah membawa kepada usaha kejayaan kepada beliau setelah beliau berjumpa dengan Chong  Hin Loon yang merupakan pengasas  Kencana  Petroleum yang pada ketika itu tengah mencari rakan kongsi dalam kalangan bumiputera. Pertemuan ini telah membawa tuah kepada syarikat Kencana Petroleum sendiri kerana Dato’ Mokhzani sendiri  merupakan seorang yang arif  dalam   hal   ehwal   kejuruteraan   petroleum.   Penyertaan  beliau  dalam   Kencana   Petroleum  menyebabkan  syarikat  tersebut  berkembang dengan majunya.

Keadaan ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa dalam kita mencapai kejayaan pasti ada jatuh bangun untuk mencapai kejayaan yang dikehendaki. Kesimpulannya di sini, kegagalan itu tidak bermaksud kita akan gagal untuk selamanya bahkan ia merupakan satu pilihan untuk kita terus melangkah berjaya dengan mengambil pandangan  yang positif  terhadap kegagalan yang dihadapi itu.


-BUDAYA TERBUKA (OPEN CULTURE)

DATUK STEVEN LIM

Budaya ialah sifat tertentu orang yang berhimpun, ditakrifkan oleh semua dari bahasa, agama, hidangan, tabiat sosial, muzik dan seni. Dengan kata lain, budaya sering dikaitkan dengan adat resam dan perilaku atau ritual yang dilakukan oleh sesebuah negara mahupun kelompok masyarakat. Di dalam arus perniagaan dan pasaran antarabangsa, nilai-nilai dan keprihatinan terhadap budaya masyarakat setempat dan negara perlu diambil kira. Syarikat -syarikat induk perlu sensitif dan peka terhadap isu ini di mana ia memainkan peranan yang penting dalam kesinambungan arus perniagaan untuk berjaya baik di dalam peringkat antarabangsa mahupun negara itu sendiri.


Usahawan yang terlibat :
Steven Lim merupakan pengasas kepada Secret Recipe yang dikenali ramai di seluruh dunia. Suasana kampung sarat dengan kekurangan menjadikan beliau manusia yang kreatif. Beliau pernah bercita-cita untuk menjadi Pereka Hiasan Dalaman, namun tidak sangka rezeki Steven melimpah-ruah dalam bidang perniagaan makanan.

Contoh kegiatan :
Kewujudan Secret Recipe bermula apabila beliau perasan kekurangan wujud dalam sebuah perniagaan makanan di negara kita. Premis pertama Secret Recipe ditubuhkan di SS2 Petaling Jaya. Pada mulanya, beliau tidak mempunyai modal yang cukup untuk mengiklankan tentang outlet pertama, maka beliau melakukan pemasaran dengan menawarkan kopi percuma.

Seorang wartawan dari majalah KL Vision mencuba kek keju nya dan mencadangkan supaya dia menyertai pertandingan kek keju tahunan. Namun Steven langsung tidak membuat persiapan tiba hari pertandingan kerana terlupa tarikh yang dimaklumkan. Dia hanya menghantar kek keju biasa dan tidak menaruh harapan untuk menang.  Kek keju Secret Recipe berjaya memenangi Grand Champion tanpa diduga. Selepas itu anugerah yang diterima Secret Recipe tidak terhitung. Terlalu banyak dan pelbagai sehingga memupuk kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap jenama tersebut.

Beliau sememangnya seorang yang suka bekerja. Otaknya juga tidak berhenti bekerja walaupun ketika tidur. Perkembangan Secret Recipe yang memberangsangkan telah memberi idea kepada Steven untuk memfrancaiskan jenama tersebut. Beliau menyerahkan kepercayaan kepada sesiapa saja yang memenuhi kriteria untuk menyertai francais Secret Recipe dan kini terdapat kira-kira 200 outlet di seluruh negara.

Hasrat beliau membuka outlet di Orchard Road kecundang lantaran jenama Malaysia dipandang rendah. Tetapi beliau tidak berputus asa dan mencuba di kawasan lain republik tersebut ternyata menerima sambutan yang baik. 

Kini pasaran menjangkau ke China, Australia, Filipina, Thailand, Brunei, Indonesia dan beberapa negara lagi untuk mengangkat jenama Malaysia. Dia bersungguh-sungguh memastikan jenama Malaysia itu membawa sijil Halal. Umat Islam ada di mana saja untuk menikmatinya selain orang bukan Islam yang juga percaya kepada kebersihan produk Secret Recipe selain kualiti hidangan yang disajikan.


Dengan ini, Steven Lim boleh dikatakan seorang yang berciri budaya terbuka kerana beliau berjaya menghidu kekurangan sesuatu dalam sebuah perniagaan makanan dan berupaya mewujudkan satu konsep baru yang dapat disesuaikan kepada semua lapisan masyarakat secara global di seluruh dunia.


-BERORIENTASIKAN KEUNTUNGAN (OUTCOME ORIENTED)

RAY KROC

Cole (1969) mendefinisikan keusahawanan sebagai aktiviti yang mendatangkan manfaat melalui pembangunan perniagaan yang berorientasikan keuntungan. Ia bermaksud hanya menumpukan pada hasil tanpa dipengaruhi oleh hal lain dalam penghasilan sesuatu produk. 

Usahawan yang terlibat :
Ray Kroc mempunyai ciri usahawan berorientasikan keuntungan yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif McDonalds. Dia merevolusikan industri restoran atas produksi hamburger, kentang goreng, dan susu kocok. Untuk mengembangkan sistem operasi dan hantaran yang maju, dia memastikan bahawa kentang goreng yang dibeli oleh pelanggan di Topeka akan sama dengan yang dibeli di New York City.

Contoh kegiatan :
Pada tahun 1960, terdapat lebih daripada 200 saluran McDonald’s di seluruh Amerika, perluasan yang cepat dikobarkan oleh biaya francais yang rendah. Ray Kroc hampir mengalami kerugian apabila menciptakan salah satu mereka yang paling kuat sepanjang masa. Akhirnya, dia memutuskan untuk menggunakan real estate sebagai pendukung kewangan sehingga McDonald’s menjadi operasi yang menguntungkan. 

Pada tahun 1956, Kroc mendirikan Franchise Realty Corporation. Melalui langkah ini, McDonald's mula memperoleh hasil keuntungan dan perusahaan berjaya melepasi landas. Kroc kemudian memperkenalkan program periklanan nasional untuk menyebarkan francais dengan cepat. Pertumbuhan perusahaan yang lambat di wilayah asal pada awal tahun 1970-an, namun semangat dalam dirinya berjaya mendorongnya mewujudkan pasaran global bagi McDonald’s.

Pada hari ini, pelbagai perusahaan terlibat termasuk pizza, pemprosesan atau menjual mainan untuk mendapat keuntungan daripada jenis sistem yang dipelopori oleh Ray Kroc. Statistik Perbadanan McDonald's Amerika Syarikat menunjukkan pemilikan lebih daripada 33 000 restoran McDonald's yang meliputi 119 buah negara. Sebagai pelopor francais McDonald’s, Ray Kroc berjaya menunjukkan ciri keusahawanan dalam berorientasikan keuntungan.


-BERORIENTASIKAN PASUKAN (TEAM ORIENTED)

DAVID GILBOA


Istilah ‘kerja berpasukan’ memberikan maksud sekumpulan manusia yang bekerja bersama-sama dalam satu unit organisasi seperti sekolah. Ia juga menunjukkan bagaimana manusia bekerja dengan lebih berkesan dalam satu kumpulan kerja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Tetapi ia tidak bermakna setiap individu tidak mempunyai kepentingan. Sebaliknya keberkesanan dan kecekapan kerja berpasukan sering kali melewati kepentingan dan sasaran secara individu. ‘Kerja berpasukan’ yang paling berkesan adalah apabila semua individu melibatkan diri dan memberi sumbangan secara harmoni bagi mencapai matlamat yang sama.

Usahawan Yang Terlibat :
David Gilboa bersama-sama Neil Blumenthal, Andrew Hunt, dan Jeffrey Raider merupakan usahawan Amerika Syarikat yang  menubuhkan sebuah syarikat kaca mata terkemuka di Amerika Syarikat. Warby Parker merupakan sebuah syarikat yang menjual kaca mata yang bergaya yang menjadi kegilaan ramai dan berpusat di New York City. Selain menjadi pengusaha syarikat Warby Parker, beliau juga merupakan rakan kongsi kepada syarikat Allen & Company dan merupakan seorang pelabur dalam pelbagai bidang sebagai contoh penjagaan kesihatan. Beliau pernah bekerja di Bain & Company sebagai penggubal dan melaksanakan beberapa strategi perniagaan untuk beberapa syarikat terkemuka di dunia. Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bio kejuruteraan dengan Kepujian dari UC Berkeley dan memegang MBA dari The Wharton School di U Penn. Beliau adalah 2014 Henry Crown Fellow Aspen Institute dan ahli Aspen Rangkaian Kepimpinan Global.

Contoh Kegiatan :
Beliau bersama-sama Neil Blumenthal, Andrew Hunt, dan Jeffrey Raider telah menubuhkan syarikat Warby Parker yang menghasilkan kaca mata yang bergaya dan amat terkenal di Amerika Syarikat. Nama " Warby Parker " berasal dari dua watak yang muncul dalam jurnal Beat Generation oleh Jack Kerouac. Syarikat ini mula ditubuhkan melalui program Venture Initiation oleh Wharton School of the University of Pennsylvanania di mana David Gilboa dan rakan-rakan pengasasnya belajar.

Syarikat Warby Parker mengamalkan budaya positif di mana pasukannya akan sentiasa mengadakan pelbagai acara dan program. Syarikat itu akan sentiasa memastikan ada acara yang dapat disertai supaya seluruh pasukan itu mempunyai sesuatu untuk melihat ke hadapan, dan kaedah ini dapat memastikan seluruh pasukan berfungsi dengan baik bersama-sama dengan menegaskan semua orang membantu menjaga kawasan rehat yang bersih atau menghantar pekerja rawak keluar untuk makan tengah hari bersama-sama.


-PROAKTIF (PROACTIVE)

MR. LEE THIAM WAH

Proaktif ialah di mana usahawan itu memiliki sikap yang selalu memandang masa depan dengan penuh  keyakinan, selalu aktif dan memikirkan apa yang dapat  mereka lakukan untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Sikap proaktif cenderung ke arah tingkah laku atau tindakan yang positif yang mana berbeza dengan reaktif iaitu tindakan yang negatif.
 
Usahawan terlibat :
Beliau merupakan seorang yang kurang upaya sejak kecil lagi dan mempunyai tahap pendidikan hanya pada peringkat darjah enam sekolah rendah sahaja kerana keluarganya tidak berkemampuan untuk menyara pelajarannya .Namun, sikap proaktif yang ada pada diri Lee Thiam Wah telah berjaya mengubah cara kehidupan beliau. Kini, beliau merupakan pengarah pengurusan di syarikat 99 Speed Mart yang mana kini telah mempunyai cawangan yang banyak.

Contoh kegiatan :
Beliau merupakan seorang yang kurang upaya sejak kecil dan tidak berpendidikan tinggi. Sungguhpun keadaannya begitu, beliau tetap berusaha dengan belajar sendiri dengan meminjam buku dari jiran dan turut menjual makanan ringan di tepi jalan. Beliau menepis segala unsur negatif yang hadir dalam diri. Ini jelas mengatakan bahawa beliau berfikir di mana beliau harus membantu diri sendiri untuk meningkatkan kualiti hidup beliau kerana beliau tahu tiada siapa yang mahu membantu dengan  keadaan fizikal beliau yang terhad itu.

Seterusnya, ketika usia beliau menjangkau 23 tahun, beliau memiliki wang simpanan sebanyak RM5000 dan dengan bermodalkan wang itu beliau membuka kedai runcit .Beliau bijak dalam mengatur strategi dan berjaya membuka 8 pasar mini di sekitar bandar Klang, Selangor pada hujung tahun 1990-an meskipun pada masa itu kegawatan ekonomi berlaku. Sikap proaktif beliau telah meyakinkan beliau untuk mengembangkan lagi perniagaan kepada kedai serbaneka yang mempunyai potensi tinggi.

Pasar raya yang pertama telah berjaya dibuka adalah pada Ogos 1992. Seterusnya, pada tahun 1995,7 buah lagi pasar raya berjaya dibuka di sekitar Klang. Semasa perniagaannya berkembang maju, banyak ilmu yang beliau pelajari dalam bidang perniagaan barangan serbaneka. Beliau begitu menitikberatkan dari segala aspek perniagaan seperti pentadbiran, pemilihan tempat perniagaan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, beliau mencetuskan satu konsep kedai serbaneka moden yang meliputi aspek kemudahan dan keperluan. Maka, 99 Speed Mart Sdn.Bhd ditubuhkan untuk mengadakan francais di seluruh Malaysia.

Sikap proaktif ini jelas kelihatan di mana beliau bangkit, menginginkan masa depan yang cerah dan inginkan peningkatan dalam kualiti kehidupan di saat kebanyakan orang kurang upaya yang lain hanya mengharapkan bantuan sepenuhnya dari pihak kerajaan semata mata bahkan ada juga yang berputus asa. Selain itu, beliau tidak pernah meminta atau mengguna kecacatan beliau untuk mendapatkan belas kasihan atau diskaun dari pihak pembekal .Beliau berkata dengan keadaan fizikal sebegini, beliau harus bekerja keras lebih dari orang lain dan dengan itu secara automatiknya ilmu pengetahuan dan keyakinan diri boleh di tingkatkan lagi untuk mengubah corak kehidupan.


TUGASAN 1 (b)

TAN SRI DATO’ LOH BOON SIEW


Dalam tugasan (b) ini pula, kami bersepakat untuk memilih Tan Sri Dato' Loh Boon Siew sebagai usahawan yang berjaya. Kami telah mengenal pasti 5 ciri utama yang terdapat dalam diri beliau yang dapat kita jadikan sebagai motivasi atau dorongan khususnya buat para usahawan atau bakal usahawan di luar sana.

Semua adalah sedia maklum tentang kisah atau latar belakang Dato' Loh di mana sejak kecil lagi beliau bekerja mengutip najis haiwan sebagai baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual sebagai tambahan pendapatan. Kemudian, ketika berumur 12 tahun, ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan dan dari situlah perjalanan Dato' Loh bermula dan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh beliau dan pada akhirnya telah berjaya mencipta nama sebagai seorang usahawan yang berjaya dan dikenali ramai sehingga sekarang.

Lima ciri-ciri usahawan tersebut antaranya adalah dapat melihat,menganalisis dan mengambil peluang, berwawasan, kegagalan menghasilkan kejayaan, berorientasikan peluang dan proaktif. 

Pada tahun 1958 ,Tan Sri Loh Boon Siew telah bercuti di  Jepun. Sikap atau ciri yang ada pada beliau iaitu suka memerhati dan menganalisis beroleh hasil apabila beliau ternampak sebuah motosikal jenama Honda yang belum pernah dipasarkan di Malaysia. Beliau  berfikir ,sekiranya motosikal tersebut di bawa balik ke Malaysia berkemungkinan ia akan mendapat sambutan yang memberangsangkan.Tan Sri mengambil peluang yang ada untuk bertemu dengan pengeluar motosikal tersebut bagi memesan 12 unit motosikal untuk dibawa ke Malaysia .Hasil daripada itu, kini beliau telah menubuhkan syarikat Boon Siew Honda yang dikenali oleh semua rakyat Malaysia. Ciri usahawan yang terbentuk dalam diri beliau memberi impak yang besar kepada dunia permotoran masa kini.

Di samping itu, Datuk Loh Boon Siew turut  mempunyai ciri-ciri wawasan iaitu untuk terus mengembangkan lagi perniagaan di Malaysia. Beliau sentiasa mencari peluang untuk melebarkan lagi sayap beliau di Malaysia. Hal ini, dapat dilihat apabila beliau melancong ke Jepun, beliau bukan sekadar melancong ke sana tetapi melihat peluang yang ada di sana yang boleh dijadikan  suatu perniagaan di Malaysia. Semasa di sana, beliau terlihat sebuah motosikal yang diguna oleh orang Jepun iaitu motosikal Honda dan merasakan ianya akan mendapat pasaran yang baik di Malaysia. Beliau mengambil keputusan untuk membawa masuk motosikal tersebut ke Malaysia. Pada mulanya motosikal yang dibawa beliau diketawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati.

Ciri yang seterusnya ialah, “Kegagalan menghasilkan kejayaan” merupakan kata-kata semangat untuk seseorang usahawan itu memperbaiki kegagalan dan menjadikan ia sebagai pengalaman yang dapat membantu usahawan itu berfikiran matang dalam membuat keputusan pada masa hadapan .Tindakan yang diambil oleh seseorang usahawan itu selepas melewati sesuatu kegagalan merupakan peluang yang sangat penting untuk membangkitkan semangat seseorang usahawan itu untuk terus berjaya. Contohnya, kehidupan keluarga Datuk Loh sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah dan mendapat pendidikan yang baik. Malah beliau memancing ikan untuk dijual dengan menggunakan najis haiwan yang diproses sebagai baja pertanian. Tetapi dia bijak mengambil peluang yang ada memanipulasikan daya ingatan dan semangat maju yang kuat untuk membawa masuk sebuah motosikal Honda yang belum lagi pernah digunakan di Malaysia dan berfikiran bahawa mungkin berupaya mendapat pasaran yang baik di Malaysia serta menjadi pengedar tunggal motosikal Honda di Malaysia.Walaupun motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, tetapi ia tidak sekali mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963 dan membuat pelbagai pembaharuan untuk menjadikan motosikal Honda sebagai kenderaan yang paling diminati di Malaysia.

Selain itu, pada tahun 1958, setelah Boon Siew Ltd. ditubuhkan, tuah Loh bertambah baik dan beliau melancong ke Jepun untuk makan angin. Sewaktu melancong di Jepun, beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia. Beliau tertarik dengan kebolehan kenderaan dua roda itu dan berusaha mencari pengasas Honda Motor Co.Ltd iaitu Soichiro Honda. Sejak beliau menemui pengasas Honda itu, pertalian antara kedua-dua persahabatan itu terjalin dan terus berkembang sepanjang hayat hidupnya. Pada ketika itu, masing-masing mempunyai impian tersendiri. Bagi Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew, impiannya adalah untuk merevolusikan industri permotoran Malaysia. Manakala, bagi Soichiro Honda pula, impian beliau adalah untuk mewujudkan pengangkutan bermotor yang efisien untuk masyarakat. Walaupun pada peringkat awalnya ianya hanyalah menawarkan motosikal kepada orang ramai, namun selepas perkongsian tersebut telah berkembang dan kedua-duanya telah menyedari bahawa impian mereka telah bergabung menjadi satu visi yang sama. Pertalian persahabatan itulah yang terus melalui dekad-dekad berikutnya yang kini kekal menjadi satu hubungan yang kuat antara dua buah syarikat yang besar iaitu Boon Siew  Sdn Bhd dan Honda Motor Co.Ltd. dari Jepun. Setelah 51 tahun usia perkongsian ini, impian mereka maju lagi setapak, dengan tertubuhnya Boon Siew Honda, sebuah organisasi yang dibina atas dasar semangat, tekad dan yang paling penting sekali, impian. Kami berjuang dengan ke arah merealisasikan impian kami dengan daya kreativiti dan semangat yang membara untuk mencapai kejayaan.

Proaktif bermaksud bersikap positif dengan merangka dan mengawal tindakan yang dilakukan jauh lebih awal daripada jangkaan akan berlakunya sesuatu perkara atau kejadian .Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew  merupakan seseorang yang buta huruf dan tidak boleh membaca. Akan tetapi, beliau mempunyai daya ingatan yang  sangat baik dan beliau sering bergantung  kepada daya ingatannya dalam membuat keputusan meskipun beliau tidak boleh  menulis mahupun membaca . Di samping itu, beliau seorang yang sentiasa berpandangan jauh ke hadapan dan berkebolehan untuk  menjangka dan bersiap sedia dalam segala hal . Ini adalah kunci kejayaannya sehingga hari ini. Dengan keyakinan yang tinggi untuk berjaya , Tan Sri telah berjaya mengenal pasti satu produk  yang jelas amat diperlukan oleh rakyat  Malaysia pada masa itu iaitu motosikal bersaiz kecil dan ringan. Apabila Tan Sri ke Osaka ,Jepun pada tahun 1957, Tan Sri telah melihat sebuah motosikal yang bersaiz kecil berada di jalan raya bandar Osaka, Jepun  .Maka ,dari situlah munculnya  idea Tan Sri untuk menjual motosikal jenis ini di Malaysia . Sehubungan dengan itu ,Tan Sri terus berhubung dengan Honda Motors Japan Limited bagi mendapatkan hak untuk menjadi pengedar tunggal di Malaysia. Tan Sri juga telah menyuarakan idea bernas iaitu untuk membina kilang motosikal di  Mak Mandin . Langkah proaktif ini telah berjaya memastikan motorsikal  Honda terus diminati oleh rakyat di Malaysia. Dengan terbinanya kilang ini ,ia dapat menjamin kestabilan harga jualan motosikal Honda di Malaysia yang  mana faktor-faktor kenaikan duti import dapat diminimumkan kerana pengeluaran motosikal Honda dibuat secara domestik.

KESIMPULAN

Usahawan merupakan seseorang yang bijak mengambil risiko dalam memulakan dan menubuhkan sesuatu perniagaan atau perusahaan serta menguruskan perniagaan. Usahawan juga dikenali sebagai seseorang yang memulakan perniagaan atau membeli perniagaan yang dimulakan oleh individu lain. Selain itu, usahawan juga dikenali sebagai seorang  pengurus yang menerajui alam perniagaannya dan dapat menuntut hak kepunyaan atas perniagaan tersebut. Secara ringkasnya, keusahawanan adalah sebagai kualiti manusia bukan sahaja mendatangkan faedah kepada dirinya malah seluruh dunia.

Malahan, ciri-ciri usahawan yang dinyatakan dapat melahirkan dan membentuk usahawan yang lebih berdisiplin, cekal serta melahirkan sifat berdaya saing. Oleh yang demikian, dengan melahirkan usahawan-usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa di dalam pembangunan ekonomi yang pesat pada hari ini, dapat kita merealisasikan objektif pembangunan negara serta wawasan 2020. Oleh itu sama-samalah kita berusaha membina ciri-ciri usahawan dalam kehidupan seharian bagi mendidik kita untuk lebih berjaya pada masa akan datang.


NAMA AHLI KUMPULAN:

NUUR FAWWAZUL WA'IE BT. ABDULLAH 238804
MURNI SYUHADA BINTI SUHAIMAY 238735
NUR FATIN AZIRAH BT. JAAFAR 239043
NURZAFIRAH BT ZAINAL 238489
NURUL NABIHAH BINTI MOHAMMAD SHUKOR 238513
































































No comments:

Post a Comment